Fiesta Pencak Silat Beradat 2012
Tarikh : 29 Disember 2012
Tempat : Bandar Tenggara
Pada kali ini, kami bergendang di Bandar Tenggara, Kota Tinggi untuk Fiesta Pencak Silat Beradat 2012 anjuran PESAKA Johor, PESAKA Kota Tinggi Baru dan Akademi Alam Satria. Kumpulan Gendang Lawi Merah telah dijemput untuk bergendang pada majlis tersebut bagi pihak penganjur dalam membawakan irama gendang aliran utara.
Kami memulakan perjalanan dari Parit Jawa, Muar ke Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada 4.30 pagi. Perjalanan kami mengambil masa 2 jam lebih untuk sampai ke Bandar Tenggara dan terus singgah ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Sesudah itu, kami terus mencari kedai untuk sarapan pagi bagi mengalas perut dan berehat sementara menunggu bermulanya acara. Kemudian, kami disambut wakil dari pihak penganjur iaitu Cikgu Alwee dan beliau menerangkan perjalanan program yang akan dijalankan serta membawa kami ke khemah untuk bergendang. Kami juga difahamkan bahawa ada 3 lagi kumpulan gendang mewakili perguruan masing-masing, maka tugas untuk bergendang pada kali ini tidaklah terlalu berat kerana dapat bergilir-gilir.
Seperti biasa, kami menyusun peralatan gendang di tempat yang disediakan dan menukar pakaian KGLM sebelum bermulanya acara. Sempatlah kami 'warm up' satu dua lagu melaras bunyi peralatan.
Lebih kurang jam 10 pagi, bermulanya istiadat pembukaan gelanggang dan berlangsunglah acara persilatan dari perguruan-perguruan yang hadir hingga ke tengah hari untuk berhenti rehat dan bersambung semula untuk sesi petang. Pada sesi petang, tugas kami diteruskan lagi bergendang mengikut aturan yang diaturkan oleh pihak penganjur seperti sesi pagi hingga selesai.
Kami berasa teruja apabila dapat menyaksikan mahupun mengiringi persembahan-persembahan dari guru-guru tua persilatan yang turut sama turun ke gelanggang membuat persembahan dalam menaikkan lagi kemeriahan suasana dalam majlis ini. Semangat yang patut dicontohi oleh remaja kini dalam mengekalkan adat budaya yang semakin pupus.
Jam 6.30 petang, berakhirlah sudah majlis dan selesailah tugas kami bergendang pada kali ini. Kami dijemput juga untuk bersama-sama sesi bergambar beramai-ramai sebelum mengemas peralatan. Setelah selesai semuanya, kami bersalam-salaman untuk berangkat pulang.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Felda Taib Andak iaitu di rumah mertua salah seorang ahli KGLM untuk berehat dan melelapkan mata seketika bagi menghilangkan lesu sebelum meneruskan perjalanan.
Jam 9 malam, kami meneruskan perjalanan pulang ke Muar dan selamat sampai lebih kurang pukul 12 malam. Walaupun masih terasa penat, namun satu kepuasan bagi kami kerana dapat bersama-sama bergendang dan menyaksikan persembahan-persembahan silat dari pelbagai perguruan.
Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada pihak penganjur iaitu Akademi Alam Satria, PESAKA Kota Tinggi Baru dan PESAKA Negeri Johor kerana sudi menjemput kami bergendang di Fiesta Pencak Silat Beradat 2012. Sekiranya ada kekurangan dan kesilapan kami pohon ribuan ampun maaf.
Wassalam
Ahli KGLM yang terlibat :
Zahir - Serunai
Fariq - Gendang Ibu
Taufik - Gendang Anak
Shah - Gong
0 comments:
Post a Comment