Bersiar-siar Di Bandar Penawar
25 - 27 Mei 2012, Pertandingan Gendang Silat Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Johor telah diadakan di Bandar Penawar, Kota Tinggi. Ahli-ahli dari Kumpulan Gendang Lawi Merah yang masih bersekolah turut terlibat dalam penyertaan pada kali ini dalam satu kumpulan mewakili daerah Muar walaupun berlainan sekolah. Kami mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan sendiri pertandingan tersebut sebagai dorongan kepada mereka.
Dari kiri : Farhan (gendang anak), Syariz (serunai), Fariq (gendang ibu), Rashidin (gong)
Kami memulakan perjalanan pada Jumaat malam menuju ke Felda Taib Andak, Kulai untuk bermalam (di rumah mertua Saudara Zahir) sebelum menuju ke Bandar Penawar. Seawal pagi kami terus bertolak ke Bandar Penawar untuk bertemu rakan-rakan KGLM yang telah tiba sehari awal. Alhamdulillah semuanya dalam keadaan ceria dan bersemangat.
Kami sempat juga menyaksikan beberapa pertandingan di sesi pagi. Pelbagai aliran gendang mengalunkan irama masing-masing. Pada waktu rehat, kami sempat bersiar-siar ke pantai Desaru, memandangkan keadaan waktu yang singkat tidaklah sempat kami bermandi manda.
Pantai Desaru
Pada waktu petang, disambung kembali pertandingan tersebut yang mana ahli-ahli junior kami turut beraksi pada kali ini dalam kategori gendang baku. Kami menyaksikan sehingga akhir pertandingan tersebut. Selesai majlis pada petang tersebut, kami beransur pulang.
Dalam perjalanan balik, sempatlah kami singgah ke Pantai Tanjung Balau mengambil angin di sana, lebih kurang jam 9 kami terus kembali ke Felda Taib Andak untuk bermalam sebelum pulang pada keesokan harinya.
Pada hari Ahad petang, kami dimaklumkan bahawa mereka telah mendapat naib johan pada kali ini. Semoga ia menjadi pendorong supaya mereka berlatih lebih gigih, tidak lupa juga kepada kami semua, kerana sekiranya kita berpuas hati dengan apa yang ada maka tidaklah akan kita mendapat yang lebih baik dan harus diingat bahawa ramai lagi yang lebih baik dan pasti akan ada yang lebih baik.
Akhir kata, ucapan TAHNIAH kepada junior Lawi Merah dan satu pencapaian yang membanggakan pada kami. Teruskan semangat bergendang.
0 comments:
Post a Comment