Powered by Blogger.

Saturday, July 21, 2012

Majlis Penangguhan Latihan Sempena Ramadhan 2012

18 Julai 2012


Masa : 9.00 malam


Tempat : Balai Raya Parit Kangkong, Parit Nipah, Parit Jawa


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sempena menyambut bulan Ramadhan ini, latihan Kumpulan Gendang Lawi Merah (KGLM)  akan bercuti rehat sebulan lebih bagi menghormati bulan yang mulia ini di samping menggalakkan ahli-ahli KGLM melebihkan amal ibadah.  Setelah kian hampir setahun berlatih tanpa henti pada setiap minggu, kami bersepakat untuk menangguhkan latihan gendang pada 18 Julai 2012.  Pada awalnya, kami cuma ingin mengadakan majlis kecil-kecilan sesama ahli, namun atas saranan dari Penaung KGLM supaya ia dibuat bersama sahabat-sahabat persilatan dan masyarakat agar diketahui umum setempat.  Saranan beliau telah dipersetujui semua AJK Penggerak KGLM.  Malah Penasihat KGLM dari Kumpulan Gendang Gemala Kasturi turut menyokong penuh untuk diadakan majlis ini, namun kami berasa dukacita kerana mereka tidak dapat hadir sama di atas faktor jarak lokasi serta masa di antara kami dan mereka.  Apa-apa pun kami panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya majlis ini telah berjaya diadakan.  Alhamdulillah.

Majlis bermula pada 9.00 malam dengan menantikan kehadiran tetamu-tetamu jemputan mengisi ruang di Balai Raya Parit Kangkong, Parit Jawa.  Ketibaan tetamu khas telah disambut dengan paluan Gendang Istiadat.  Lebih kurang jam 9.15 malam, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Naib Kadi Kawasan Parit Jamil, iaitu Tuan Imam Hj. Yahya bin Hj. Buang.  Setelah itu, persembahan gendang dimulakan dengan  paluan gong 16 kali, sebelum dimainkan 6 buah lagu-lagu rakyat berirama Gendang Lagu Berjalan.


Pemain-pemain KGLM junior mempersembahkan irama-irama gendang di sepanjang majlis

Acara seterusnya diteruskan dengan ucapan dari Wakil AJK Penggerak KGLM iaitu Saudara Muhammad Taufik bin Ramli.  Beliau menerangkan perjalanan KGLM kepada penduduk-penduduk kampung dari sebelum ia diberi nama hingga kini.  Beliau juga menerangkan jenis-jenis irama gendang yang dibawa oleh KGLM setakat hari ini.  Turut juga diceritakan peranan gendang dalam membina jati diri di kalangan ahli.

Ucapan dari Wakil AJK Penggerak KGLM (En. Muhammad Taufik bin Ramli)

Acara seterusnya, ucapan dari Penaung KGLM, iaitu Mahaguru Agung Dr. (H) Hj. Mohd Badri bin Rason.  Beliau berkongsikan cerita pengalaman-pengalaman beliau dalam menghidupkan seni budaya Melayu.  Beliau juga turut menerangkan keadaan segelintir masyarakat sekarang yang memandang rendah kepada martabat seni budaya masyarakat Melayu yang kian luput ditelan zaman.

Ucapan dari Penaung KGLM, (Dr. (H) Hj. Mohd Badri bin Rason)

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian dari Ketua Kampung Parit Tengah iaitu En. Mohamad Noor bin Rahmat mewakili Penghulu Mukim Seri Menanti yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Beliau turut menyokong dan memberi galakan tentang perjalanan KGLM dalam menghidupkan kesenian budaya Melayu ini. Beliau juga turut merasmikan majlis pada kali ini.



Ucapan Perasmian dari Ketua Kampung Parit Tengah (En. Mohamad Noor bin Rahmat)

Majlis seterusnya ialah penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada Pertubuhan, Persatuan, Kelab dan Kumpulan persilatan dan gendang yang sudi hadir memeriahkan majlis.  Cenderahati juga turut diberi kepada tetamu-tetamu khas KGLM iaitu Ketua Kampung Parit Tengah, Ketua Kampung Parit Jawa, Naib Kadi Kawasan Parit Jamil, Penaung KGLM dan Ketua Umno Cawangan Parit Jamil serta Tuan Rumah (En. Ramli bin Hj. Sulong).  Upacara penyampaian cenderahati diiringi dengan paluan irama Gendang Nobat Melayu Deli.

Penyampaian Cenderahati oleh Ketua Kampung Parit Nipah (Tuan Hj. Azhar bin Hj. Muharam)


Majlis diteruskan lagi dengan mengiringi tetamu ke balai jamuan diiringi dengan paluan gendang.  Paluan gendang diteruskan lagi bagi memeriahkan majlis sementara menunggu persembahan silat.

Mengiringi tetamu ke balai jamuan dengan paluan gendang

Tetamu-tetamu Khas di meja jamuan

Tetamu-tetamu menikmati juadah yang disediakan


Acara persembahan-persembahan silat dimulakan dari Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar diiringi dengan irama Gendang Tari Inai dan Pahlawan, diikuti dari Pertubuhan Seni Silat Warisan Nusantara, diteruskan dengan persembahan Kelab Gabungan Seni Silat Gerak 7 Nusantara, diteruskan lagi dari Persatuan Seni Silat Gerak Lincah Muar dan di akhiri dengan Seni Silat Kuntau Jawa.


Salah satu aksi dari persembahan silat (dari Kelab Gabungan Seni Silat Gerak 7 Nusantara)

Paluan gendang silat Kedah mengiringi persembahan silat

Kami juga turut menjemput sahabat-sahabat seperjuangan dalam arena pergendangan dari Keluarga Angkatan Bergendang Silat Melaka (KABES) untuk membuat persembahan khas memalu gendang mengiringi persembahan silat.

KABES mengalunkan irama Gendang Silat Jawa diikuti dengan tiupan serunai dari wakil KGLM

Setelah tamat kesemua persembahan silat, maka berakhirlah Majlis Penangguhan Latihan Gendang Kumpulan Lawi Merah pada kali ini. Sebelum bersurai, sempatlah kami bergambar bersama-sama sahabat-sahabat yang masih tinggal kerana ramai terpaksa pulang kerana jam telah tepat 12.00 malam memandangkan ramai pesilat yang masih bersekolah.



Satu penghormatan dari para guru kepada kami untuk duduk di barisan hadapan walaupun berkali-kali kami meminta mereka di hadapan. Terima kasih
Belakang dari kiri: Cikgu Nazri Zainal, Cikgu Azuan Abu Bakar, Cikgu Malik, Guru R.A Huzaifah, Mahaguru Mohd Shah, Mahaguru Mohd Ramli, Cikgu Mustazam, Saudara Azamuddin.
Duduk dari kiri : Saudara Farhan, Fariq, Zahir, Taufik, Syariz, Rashidin.

Kami memohon ampun dan maaf jika ada kekurangan kesilapan dan kesalahan sama ada sedar atau pun tidak kepada tetamu-tetamu yang sudi hadir.  Terima kasih di atas sokongan semua yang hadir.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL MUBARAK
dari
Kumpulan Gendang Lawi Merah

Wassalam



PENGHARGAAN SUMBANGAN
Pesantren Nur Fateh

PENGHARGAAN PERSEMBAHAN
Keluarga Angkatan Bergendang Silat Melaka (KABES)
Pertubuhan Seni Silat Warisan Nusantara
Persatuan Seni Silat Sendeng Daerah Muar
Persatuan Seni Silat Gerak Lincah Muar dan Bukit Piatu
Kelab Gabungan Seni Silat Gerak 7 Nusantara
Seni Silat Kuntau Jawa



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

<©>Lawi Merah
Hakcipta Terpelihara

Weblog ini telah dibina mulai 4 April 2011

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada Lawi Merah. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari blog ini. Terima kasih.


kumpulangendanglawimerah@gmail.com

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP