Majlis Penangguhan Gelanggang Seni Silat Gerak Lincah, Bukit Piatu, Melaka
13 Julai 2012
Bismillahirrahmanirrahim.
Kali ini kami dijemput untuk bergendang di Negeri Hang Tuah oleh Persatuan Seni Silat Gerak Lincah di Bukit Piatu Melaka. Kami bertolak ke Melaka lebih kurang jam 7.00 petang. Singgah sebentar di Sungai Rambai untuk menunaikan solat Maghrib. Perjalanan diteruskan dan sampai ke destinasi lebih kurang jam 8.30 malam.
Seperti biasa kami mengambil tempat dan melaras peralatan bergendang. Sempatlah kami bermain dua tiga lagu sebelum bermulanya majlis. Lebih kurang jam 9 malam bermulanya Majlis Penangguhan Gelanggang Seni Silat Gerak Lincah dimulakan dengan doa dan kata-kata aluan serta ucapan.
Seterusnya, Kumpulan Gendang Lawi Merah menjalankan peranan bergendang mengiringi pesilat-pesilat membuat persembahan satu demi satu hingga selesai ke semua persembahan silat.
Permainan gendang diteruskan lagi mengiringi acara pertandingan silat seni solo di kalangan ahli Persatuan Seni Silat Gerak Lincah, Bukit Piatu hingga selesai. Alunan irama gendang diteruskan lagi sebagai selingan sementara menanti acara penyampaian hadiah dan sijil.
Tidak disangka-sangka kali ini, kami juga turut menerima hamper dan sijil penghargaan dari Persatuan Seni Silat Gerak Lincah, Bukit Piatu. Julung kalinya KGLM mendapat sijil, jika tak silap saya. Jutaan terima kasih. Seterusnya sesi bergambar beramai-ramai dijalankan sebelum kami semua bersurai lebih kurang jam 12 tengah malam.
:::Jutaan terima kasih kepada Persatuan Seni Silat Gerak Lincah, Bukit Piatu dan juga yang terlibat kerana sudi menjemput kami bergendang pada kali ini.
Pautan di fb:
http://www.facebook.com/pages/Kumpulan-Gendang-Lawi-Merah/138431839560859
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment