Bengkel Gendang Silat Aliran Utara di Kota Tinggi, Johor
Bismillahirrahmanirrahim
Kami telah diberi peluang pada kali ini untuk sama-sama membantu menjayakan Bengkel Gendang Silat Aliran Utara di Kota Tinggi, Johor. Seramai dua orang wakil dari KGLM iaitu Saudara Mohd Zahir dan juga Muhammad Taufik akan bersama-sama En. Khairul Hafiz (Kumpulan Gendang Gemala Kasturi) dan Muhammad Nizam (Kumpulan Gendang Silat Lela Rentaka) ke Kota Tinggi, Johor.
20 April 2012 (Jumaat)
6.00 p.m
Kami memulakan perjalanan ke Kota Tinggi bersama-sama En. Khairul dan En. Nizam yang dijangka memakan masa hampir 4 jam. Syukur alhamdulillah, perjalanan kami ke Kota Tinggi berjalan lancar dan selamat sampai lebih kurang pada jam 10.00 malam.
10.15 p.m
Kedatangan kami disambut oleh Cikgu Alwee (Akademi Alam Satria) selaku penganjur dalam bengkel gendang silat pada kali ini. Kami dibawa ke sebuah restoran berhampiran Menara Jam Kota Tinggi untuk mengeteh dan sesi perkenalan bersama beliau.
21 April 2012 (Sabtu)
8.00 a.m.
Selepas bersarapan, kami terus ke Wisma Belia bersama-sama Cikgu Alwee. Kami turut disambut oleh En. Azman (Silat Lintau) bersama anak-anak buahnya yang juga turut menjadi peserta bengkel. Sesi penerangan dan pengenalan menjadi slot pertama dalam bengkel ini yang dibawa oleh En. Khairul. Tidak lama kemudian, sesi demo gendang lagu berjalan dan gendang silat dijalankan dijalankan sebagai pembangkit semangat peserta sebelum menjalani praktikal bergendang.
Peserta diasingkan kepada 2 kumpulan iaitu pemain gendang dan serunai. Pemain-pemain gendang dibawa oleh Saudara Taufik dan Saudara Nizam dan pemain-pemain serunai dibawa oleh Saudara Zahir dan En. Khairul. Dua kumpulan ini berlatih berasingan tempat bertujuan memberi fokus pada bidang-bidang peralatan yang dipilih. Sesi latihan dimulakan secara teori dan praktikal berjalan sehingga jam 12.30 untuk berhenti rehat makan tengah hari dan menunaikan solat Zohor.
2.00 p.m
Latihan secara praktikal diteruskan lagi hingga jam 6.00 petang, walaupun keletihan pada sesi pagi namun peserta-peserta tetap gigih menjalani latihan membuatkan kami terus bersemangat melatih mereka berterus-terusan.
8.00 p.m
Latihan sesi malam diteruskan lagi hingga jam 10.00 malam. Kali ini pemain serunai dan gendang berkumpul bersama-sama supaya mereka memahami cara untuk menghasilkan 'gendang lagu berjalan'.
Sesi Latihan Pada Waktu Malam
10.00 p.m
Latihan ditangguhkan pada malam ini, lalu kami dimaklumkan oleh En. Khairul, rakan-rakan dari Kumpulan Gendang Warisan Tebrau telah sampai ke Kota Tinggi dan kami terus ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu mereka. Seperti biasa, kedai makan menjadi tempat pertemuan untuk kami berbual-bual sementara menantikan ketibaan rakan-rakan dari Kumpulan Gendang Langgam Mustika. Lebih kurang jam 1.00 pagi, rakan-rakan dari Kumpulan Gendang Langgam Mustika telah sampai ke Kota Tinggi. Bertambah-bertambah meriah perhimpunan pada malam ini. Sedar tak sedar jam sudah 3.00 pagi, mereka pun beransur pulang dan kami juga kembali ke hotel.
22 April 2012 (Ahad)
Sesi pagi diteruskan dengan latihan-latihan yang mantap supaya peserta-peserta dapat menghasilkan alunan serunai, gendang dan gong dalam satu masa. Satu usaha yang tidak sia-sia, mereka akhirnya dapat memainkan asas 'gendang lagu berjalan'. Pada jam 12.30 tengah hari, kami berhenti rehat makan tengah hari dan menunaikan solat Zohor di surau berhampiran.
Saudara Taufik (kiri) dari Lawi Merah dan Saudara Nizam (kanan) dari Lela Rentaka
2.00 petang
Majlis Penutup Bengkel Gendang Silat dijalankan. Turut juga hadir rakan Cikgu Alwee iaitu En. Sulaiman dari Akademi Alam Satria bagi memeriahkan lagi sesi ini. Persembahan-persembahan dari peserta-peserta bengkel diadakan pada penghujung sesi ini yang terdiri dari 2 kumpulan. Dimeriahkan lagi demo dari tenaga pengajar sebagai penutup tirai sesi latihan. Maka berjalanlah majlis penutup bengkel dengan taklimat dan ucapan dari En. Khairul (wakil tenaga pengajar) dan diakhiri dengan ucapan dari Cikgu Alwee (wakil dari pihak penganjur).
Wakil Dari Peserta Bergendang Bersama Kami
Seperti biasa, sesi bergambar bersama-sama peserta, penganjur dan tenaga pengajar dijalankan terlebih dahulu sebelum berpisah sebagai kenang-kenangan
Gambar Kenangan Peserta Dan Tenaga Pengajar
Pihak Penganjur Bersama-sama En. Khairul (dua dari kanan)
Akhir kata, terima kasih kepada pihak pengajur Akademi Alam Satria, Cikgu Alwee, En. Sulaiman dan En. Azman. Tidak lupa juga kepada En. Khairul (Gemala Kasturi) mempelawa kami untuk membantu beliau di samping berkongsi pengalaman untuk mengendalikan bengkel gendang silat aliran utara dan terima kasih juga kepada peserta-peserta kerana memberikan kerjasama.
Sekian.
Wassalam.
Kisah dari blog rakan:
0 comments:
Post a Comment